#dudukrumah #mehbuatkerjasekolahkatrumah
Hari ni 8/4/20 kita buat rumusan
Petikan Rumusan
Baca petikan di bawah dengan
teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang peranan pusat sumber sekolah dan sebab-sebab
pusat sumber sekolah kurang dikunjungi. Panjang rumusan hendaklah tidak
melebihi 120 patah perkataan.
Sejak dahulu lagi sesebuah sekolah dianggap
tidak lengkap jika tidak mempunyai satu perpustakaan. Perpustakaan itu pula
dianggap sebagai gedung ilmu dan sumber pengetahuan. Hal ini
bermakna, kalau sebelum ini perpustakaan merupakan pusat pengumpulan bahan bercetak
dan bilik alat yang merupakan tempat pengumpulan bahan-bahan alat pandang
dengar, sekarang kedua-dua tempat ini diintegrasikan untuk menjadi pusat sumber
sekolah.
Pusat sumber sekolah berfungsi sebagai
pusat untuk menyediakan, menyimpan, mengedarkan, dan memberi perkhidmatan
koleksi bahan. Sama ada bersaiz sekadar sebuah bilik darjah ataupun berdiri
megah berbentuk bangunan sendiri, pusat sumber sekolah berpotensi besar
dalam meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dan tahap intelektual warga
sekolah, khususnya murid. Usaha untuk meningkatkan penguasaan bahasa Melayu
yang menjadi satu daripada fokus tahunan pusat sumber sekolah. Pusat sumber
sekolah dapat mengadakan kolaborasi dengan Panitia Bahasa Melayu dalam program
peningkatan akademik.
Pusat sumber sekolah juga merupakan
tempat berlakunya segala kegiatan yang bertujuan untuk meningkatkan pencapaian
dalam proses pengajaran dan pemelajaran. Konsep pusat sumber sekolah ini adalah
berkaitan dengan konsep pendidikan moden, iaitu untuk mewujudkan keadaan
belajar secara kendiri. Dengan yang demikian, setiap individu boleh menentukan
kehendak pelajarnya dan merancang sesuatu bagi memupuk keperluan dan kehendak
yang tersendiri. Pusat sumber sekolah sememangnya dapat membantu
dan membaiki kualiti pendidikan negara agar dapat memberikan asas yang
kukuh bagi membentuk masyarakat berpengetahuan. Oleh itu, golongan
pendidik sentiasa diingatkan supaya menghasilkan pengajaran yang berkesan.
Pada masa yang sama, pusat sumber sekolah
perlu dilengkapi dengan alat bahan, dan kemudahan. Pusat sumber yang lengkap
dan menepati kehendak pelanggannya membolehkan proses capaian maklumat
dilaksanakan dengan berkesan. Antaranya termasuk penyediaan keratan akhbar dan
koleksi rencana daripada majalah. Selain itu, pusat sumber sekolah mampu
menghasilkan bahan-bahan yang mudah dan murah, tetapi berkesan kepada
pelanggannya. Jadi, pusat sumber sekolah disediakan bertujuan untuk
memajukan sumber pelbagai media bagi kegunaan guru dan pelajar.
Tegasnya, dapatlah dikatakan bahawa peranan
pusat sumber sekolah sangat luas. Di samping memupuk minat gemar membaca dan
membuat penyelidikan, diharapkan apabila pelajar dapat memanfaatkan pusat
sumber sekolah, mereka akan dapat menjadi pelajar yang berdedikasi, berfikiran
matang, berdisiplin, dan dapat mengembangkan bakat, serta kebolehan mereka
berdasarkan minat dan kecenderungan masing-masing.
(Dipetik dan diubah suai daripada ‘Pusat Sumber Meningkatkan Penguasaan
Bahasa Melayu’ oleh Zuridah Hanim Md. Akhir, Pelita Bahasa, April
2011)
No comments:
Post a Comment