Hari ini 27/4/20 Hari keempat kita berpuasa.. minggu kedua fasa ke-3 PKP
#dudukrumah
#homelearning
Hari ini, kita fokus pula pada soalan 2(b) Petikan cerpen atau drama
Sebelum jawab soalan...meh baca dulu drama Bukan Gila ni
DRAMA -BUKAN GILA KAJIAN KOMSAS
ANTOLOGI SEJARAH RINDU TINGKATAN LIMA
SINOPSIS
ADEGAN I
Drama ini mengisahkan tentang Azmir yang dimasukkan ke wad
kerana dikatakan kurang siuman. Semasa di dalam wad, fikirannya bercelaru dan
dengan membayangkan kehadiran Ani, bapa dan Pak Haji serta berdialog dengan
mereka. Dialog-dialog tersebut telah memperlihatkan perbezaan prinsip yang
menjadi pegangan Azmir.
ADEGAN II
Azmir telah dilawati oleh doktor. Doktor telah mengizinkan
Azmir untuk keluar bersiar-siar dari wad pesakit jwa. Namun begitu, doktor
berpesan supaya Azmir tidak pergi jauh, hanya di kawasan wad sahaja.
ADEGAN III
Dalam adegan ini terdapat sesi pementasan lakonan yang
diarahkan oleh Arif dan tiga orang pelakon. Setiap watak menyatakan prinsip
hidup yang berbeza tentang dunia. ( dunia ialah kuasa, wang ialah dunia dan
dunia ialah fikiran). Azmir pula berpendapat bahawa yang penting ialah sistem.
Sistem yang betul ialah sistem yang prorakyat. Rakyat yang berkuasa menentukan
segala-galanya. Dialog mereka berkisar tentang kehidupan ini yang berbentuk
lakonan atau realiti. Azmir berpendapat bahawa sejarah membuktikan bahawa
rakyat yang betul dan kemenangan sentiasa berpihak kepada rakyat. Pada masa
yang sama Azmir sering melaung kesakitan pada kepalanya. Azmir diragui oleh
kawan-kawannya sama ada Azmir benar-benar sakit atau hanya lakonan.
Kemudian Doktor Razi telah datang
dan membawa Azmir kembali ke wad setelah tiga hari hilang.
ADEGAN IV
Arif, Pelakon 1, Pelakon 2 dan Pelakon 3 telah menziarahi
keluarga Azmir. Mereka ingin mendapatkan maklumat latar belakang hidup Azmir.
Ibu bapa Azmir nenceritakan kisah Azmir yang tinggal dengan neneknya, bersikap
gila-gila, mula berpelakuan aneh apabila berada dalam tingkatan 6 dan tidak
dapat menamatkan pengajian di universiti. Dia juga menggunakan nama W.A. Domski
dan bercakap dalam bahasa Indonesia. Rakan Azmir pula mempunyai persepsi yang
berbeza tentang diri Azmir. Rakan Azmir berpendapat mungkin Azmir kekurangan
kasih saying dan sokongan daripada kedua-dua ibu bapa. Pelakon 2 pula
berpendapat Azmir sedang menanggung kesakitan yang berat. Pelakon 1 pula
berpendapat mereka perlu membantu Azmir kerana pada tanggapannya dia memerlukan
kasih sayang, bukan cemuhan dan penghinaan.
ADEGAN V
Azmir bermonolong tentang kisah lampau hidupnya bercinta
dengan Ani. Azmir juga bermonolong tentang suka duka kehidupannya.Manusia
sering tertipu dengan keindahan dunia tanpa pertimbangan yang rasional.
Akhirnya dia memilih untuk hidup bersendiri dan menilai cinta dalam kehidupan.
Manusia ialah pemburu dalam kehidupan
ADEGAN VI
Berita kematian Azmir dilaporkan dalam akhbar pada 21 Jun
1993. Kematiannya amat mengejutkan dan dikaitkan berpunca daripad penyakit
barah otak dilamainya. Ani menyesal kerana meninggalkan Azmir
TEMA
Ketabahan
seorang anak muda melawan penyakit yang dihidapi
PERSOALAN
1. Perbezaan pemikiran dan
tindakan menyebabkan seseorang itu
dianggap janggal oleh masyarakat sekeliling.
Contoh: Azmir dianggap gila kerana mempunyai
pandangan yang
berbeza
tentang hidup (cinta, sifat kemanusiaan, prinsip hidup)
berbanding
orang lain.
2.
Kepentingan cinta dan kasih sayang
Contoh: Cinta dan kasih sayang amat penting bagi menjamin kebahagiaan
3.
Kesakitan boleh membawa penderitaan
Contoh: Azmir yang menanggung kesakitan kerana menghidap barah otak.
4.
Sokongan daripada ahli keluarga terdekat boleh memberi kekuatan
dalam menghadapi cabaran hidup.
Contoh: Azmir menanggung
cabaran hidup tanpa sokongan ibu bapa dan
kekasih hati.
5.
Keprihatinan dalam diri setiap manusia.
Contoh: Tindakan para pelakon yang
mengunjungi rumah Azmir untuk
mengetahui
latar belakang hidup Amir
6.
Sikap suka membantu orang lain.
Contoh : Para pelakon yang membantu
mengurangkan kesakitan dengan
memicit-micit kepala Azmir
Plot Binaan Plot - Plot drama ini disusun secara kronologi.
(a) Pengenalan
Azmir
berada di wad pesakit jiwa di Hospital Besar seorang diri dan berada
dalam khayalan.
(b) Perkembangan
Azmir sentiasa berkhayal akan kehadiran Ani, kekasihnya yang
sudah meninggalkannya kerana Azmir dikatakan gila. Azmir juga berkhayal akan
kehadiran ayahnya yang menziarahinya di wad. Azmir bertelingkah dengan ayahnya
kerana dia beranggapan ayahnya tidak sayangkannya. Kemudian, Azmir berkhayal
pula tentang Pak Haji melawatnya di wad. Dia bertengkar dengan Pak Haji tentang
namanya dan sikap manusia yang tidak bertindak seperti yang dikatakan oleh
mereka. Azmir kembali berkhayal bahawa Ani datang mengunjunginya. Azmir
mempertikaikan kata-kata cinta Ani terhadap dirinya. Selepas itu, doktor melawat
Azmir di wad. Doktor memeriksa Azmir dan membenarkan Azmir bersiar-siar di luar
wad.
(c) Perumitan
Arif dan pelakon-pelakon lain ingin memantapkan kefahaman
tentang tajuk drama mereka, iaitu Sasau. Tiba-tiba Azmir datang dan mencelah
sewaktu Arif dan pelakon-pelakon lain membuat latihan drama. Azmir
mempertikaikan dialog drama Sasau yang mengagungkan kuasa. Azmir mengatakan
bahawa sistem terbaik ialah sistem yang prorakyat. Para pelakon berbincang
dengan Azmir tentang sistem tersebut. Tibatiba Azmir berasa sakit dan meminta
pelakon memicit kepalanya.
(d) Klimaks
Azmir menghantuk-hantukkan kepala ke
lantai sehingga berdarah. Azmir berguling-guling di lantai kerana kesakitan dan
darah masih mengalir di pipinya. Arif dan pelakon-pelakon lain membantu Azmir.
Selepas itu, doktor membawa Azmir ke hospital semula. Arif cuba menerangkan
kepada doktor bahawa Azmir sedang menderita suatu penderitaan yang tidak
tertanggung olehnya. Doktor mengatakan bahawa orang gila sememangnya pandai
berkata-kata.
(e) Peleraian
Arif dan pelakon-pelakon lain mengunjungi ibu bapa Azmir di
rumah. Mereka menerangkan keadaan Azmir kepada Arif. Arif menjelaskan bahawa
Azmir bukan buat-buat gila tetapi sedang menderita suatu penderitaan. Pelakon 1
meminta ibu bapa Azmir agar memberikan perhatian dan kasih sayang kepadanya.
Arif mencadangkan ibu bapa Azmir berjumpa dengan Azmir di hospital sebelum
terlambat. Di wad pesakit jiwa, Azmir mengimbau kenangan lalu antaranya dengan
Ani. Akhirnya, Azmir semakin lemah dan jatuh ke lantai. Ani yang berada di
rumah telah membaca berita tentang kematian Azmir seorang diri di wad yang
dikatakan berpunca daripada penyakit barah otak. Ani berasa bersalah dan
bersikap kejam terhadap Azmir
Watak Utama : Azmir
1. Azmir diletakkan di
wad sakit jiwa kerana keluarganya menyangka bahawa dia tidak siuman akibat
sering terguling-guling dan menghantukkan kepala ke lantai.
2. Dia suka berfalsafah
dan bersyarah.
3. Dia bijak kerana
berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti dan memberi pendapat yang bernas.
4. Menghidap penyakit
barah yang kronik.
5. Seorang yang berbudi
bahasa kerana menyatakan penghargaan kepada mereka yang berjasa dalam
membangunkan negara.
6. Seorang yang petah
berkata-kata apabila menyuarakan pendapat.
7. Seorang yang bijak
menyatakan pendapat sewaktu menyertai drama ‘Sasau’ secara spontan.
8. Azmir seorang yang optimis kerana tidak
mudah melatah apabila disoal para pelakon drama sebaliknya menerangkannya
dengan baik.
Watak Sampingan dan Perwatakan
Bapa
1. Bapa kepada Azmir
2. Seorang yang
penyayang kerana sering menziarahi Azmir.
3. Namun, dia kurang
memberikan perhatian dan kasih sayang serta sokongan kepada Azmir kerana tidak
tahu anaknya menghidap penyakit barah otak.
Ibu
1. Ibu kepada Azmir
2. Dia tidak prihatin
terhadap anaknya.
3. Mengambil mudah
tentang perubahan sikap Azmir dan menyangka anaknya itu sengaja buat-buat gila.
4. Mudah putus asa
kerana menyatakan ketidaksanggupannya menjaga Azmir yang sengaja berbuat gila.
5. Mudah percaya tuduhan
orang yang menyatakan Azmir menjadi Orang Putih.
Arif
1. Pengarah drama
‘Sasau’.
2. Seorang yang rasional
iaitu tidak mudah menerima komentar pelakon tentang Azmir.
3. Mudah bersimpati –
bersimpati terhadap Azmir yang padanya sedang menderita bukannya gila seperti
dakwaan doktor.
4. Seorang yang prihatin
– berusaha menjejaki keluarga Azmir untuk mengetahui kedudukan sebenar Azmir
yang dikatakan gila.
Ani
1. Kekasih Azmir.
2. Tidak setia kerana
meninggalkan Azmir yang disangkanya gila tanpa usul periksa.
3. Menyedari
kesilapannya, namun telah terlambat kerana Azmir telah meninggal dunia.
Latar Masa dan Latar Tempat Latar Tempat
1. Wad pesakit gila –
tempat Azmir menjalani rawatan.
2. Pentas – tempat para
pelakon drama ‘Sasau’ berlakon.
3. Rumah Azmir – tempat
tinggal Azmir dan dikunjungi Arif serta rakan-rakannya.
4. Ruang tamu rumah Ani
– tempat ani duduk membaca akhbar tentang kematian Azmir.
Latar Masa
1. Waktu siang – Bapa
dan Pak Haji melawat Azmir di wad.
2. Tiga hari – tempoh
Azmir menghilangkan diri dari wad pesakit jiwa.
3. Sehari – tempoh Arif
dan para pelakon berkawan dengan Azmir.
4. 21 Jun 1993 – tarikh
kematian Azmir.
Latar Masyarakat
1. Golongan pesakit yang
menderita penyakit kronik – Azmir mengalami sakit kepala yang teruk kerana
menghidap penyakit barah otak.
2. Masyarakat golongan
doktor yang kurang ilmu – Dr Razi tidak teliti ketika memeriksa dan merawat
Azmir. Sebaliknya, dia mengambil jalan mudah dengan mengatakan Azmir gila.
3. Masyarakat golongan
ibu bapa yang kurang memberikan sokongan dan kasih sayang. – Ibu bapa Azmir
sering mengambil mudah tentang perubahan sikap Azmir. Mereka tidak mengambil
tahu tentang penderitaan Azmir yang menghidap barah otak.
4. Masyarakat yang
prihatin dan mengambil berat. – Arif dan rakan-rakannya prihatin terhadap
penderitaan Azmir. Mereka berkunjung ke rumah Azmir untuk melawatnya.
5. Masyarakat yang bijak
dan petah berkata-kata. – Azmir mampu berkata-kata dengan petah dan hujah yang
bernas.
6. Masyarakat yang
penyayang, – Bapa Azmir melawatnya di hospital.
7. Masyarakat yang mudah
mempercayai khabar angin tanpa menyelidik terlebih dahulu. – Ani mengambil
keputusan memutuskan cinta dengan Azmir dan meninggalkannya setelah mendengar
khabar bahawa Azmir kurang siuman.
8. Masyarakat yang
menginsafi kesilapan. – Ani menginsafi kesilapannya kerana meninggalkan Azmir.
Namun, tindakannya telah terlambat kerana Azmir sudah meninggal dunia.
9. Masyarakat yang
bertimbang rasa. Arif dan para pelakon memberi peluang kepada Azmir berlakon
dan mendudukkannya yang sakit apabila dipinta serta memicit-micit kepalanya.
GAYA BAHASA
1. Simile – mata Azmir semacam melihat tepat ke
arah suatu objek.
2. Anafora – HAMBA
: Rahsiamu? Rahsiamu
ialah penderitaanku tetapi kepuasanmu.
3. Repetisi – ANI
: Percayalah. Ani masih mencintai abang, sungguh-sungguh mencintai abang.
4. Metafora – kamus
kemanusiaan, angin kemudaan, pohon-pohon jasa.
5. Sinkope – kau, mu,
tak.
6. Kata ganda –
daging-daging, saat-saat.
7. Bahasa Arab –
Assalamualaikum, Astaghfirullah.
NILAI
1. Kasih sayang
Contoh– bapa sayang akan Azmir dan
menziarahinya di wad.
2. Keprihatinan
Contoh– Arif dan para pelakonnya
prihatin dengan keadaan Azmir mengajak
ibu bapa Azmir memberikan perhatian dan kasih
sayang bukan cemuhan dan penghinaan kerana Azmir memerlukan semangat dan
perangsang daripada mereka.
3. Rasional
Contoh– Pak Haji bersikap rasional
dengan menukar topik perbualan apabila Azmir menunjukkan rasa kurang senang.
4. Kebijaksanaan
Contoh– Azmir bijak menyampaikan
hujahnya tentang kuasa, wang, rakyat dan manusia kepada para pelakon drama
‘Sasau’.
5. Bertanggungjawab
Contoh – Ibu bapa Azmir
bertanggungjawab memberi pendidikan kepada Azmir hingga berjaya masuk
universiti.
6. Kebebasan
Contoh– Azmir berasa tertekan kerana
terkurung di wad dan gembira apabila diberi peluang untuk bersiar-siar.
7. Belas kasihan
Contoh– Arif dan rakan-rakannya
bersimpati dengan keadaan Azmir yang kesakitan.
PENGAJARAN
1. Kita hendaklah
sentiasa prihatin terhadap nasib orang lain supaya kita dapat
membantu mereka.
Contohnya,
Arif prihatin terhadap nasib Azmir dan telah menasihati ibu Azmir agar segera
melawat Azmir di wad pesakit jiwa sebelum terlambat.
2. Kita
hendaklah setia kepada pasangan supaya kita tidak melakukan perbuatan
khianat.
Contohnya, Azmir
setia terhadap Ani yang telah meninggalkannya setelah Ani beranggapan
bahawa Azmir gila.
3. Kita
mestilah bersikap baik hati kepada orang lain.
Contohnya,
doktor bersikap baik hati terhadap Azmir dengan membenarkan Azmir
bersiar-siar di kawasan hospital.
4. Kita
hendaklah menghargai jasa orang lain supaya orang tersebut tidak berasa
dipinggirkan.
Contohnya, Azmir
menghargai jasa-jasa petani, nelayan, dan buruh yang menyumbang kepada
kesejahteraan hidup.
5. Kita haruslah memberikan kasih sayang yang sepenuhnya
terhadap anak-anak.
Contohnya, bapa Azmir menziarahi
Azmir walaupun anaknya itu dikatakan gila.
Soalan 2 (b) – Petikan Drama
Baca petikan drama di bawah dengan teliti,
kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda
sendiri.
IBU : Itu pun satu hal. Memalukan keluarga saja. Orang ramai dah
heboh. Azmir masuk orang putih. Dia tak mahu jadi orang Melayu lagi. Habis, macam manalah orang tak kata
dia gila. Mak
cik sungguh malu sekarang. Nak jumpa orang pun mak cik dah tak sanggup
lagi. kata
kunci soalan 2(b) i
PELAKON
II : Bersabarlah, mak cik. Mungkin
ada hikmah di sebalik kejadian ini buat kita
semua.
PELAKON
III : Betul juga kata rakan saya tu.
Peristiwa yang berlaku kepada Azmir mungkin berpunca daripada kurangnya
perhatian dan kasih sayang.
IBU : Nak buat macam mana lagi, encik. Kami dah beri pelajaran hingga
dia masuk
universiti. Persoalan yang ada dalam petikan: Tanggungjawab
ibu bapa terhadap anak
ARIF : Betul
mak cik, tetapi…masuk ke universiti saja belum menjamin seseorang
itu mendapat kasih sayang
yang secukupnya.
(IBU dan BAPA berpandangan. Mereka kelihatan semacam rasa bersalah).
PELAKON I : Pak cik, mak cik… marilah kita
sama-sama membantu Azmir. Dia amat
memerlukan perhatian dan kasih sayang, bukan
cemuhan dan penghinaan. Dia memerlukan semangat dan perangsang daripada
kita semua, bukan kutukan dan hukuman.
PELAKON II : Kami lihat, Azmir seperti sedang
menderita suatu penderitaan yang tak
tertanggung. Kutukan, cemuhan dan hukuman
akan hanya menyebabkan sakit
yang dialaminya menjadi lebih parah.
Dipetik daripada drama
‛Bukan Gila’
oleh Sharif Shaary
dalam antologi Sejadah Rindu,
Dewan Bahasa dan Pustaka
(i)
Berdasarkan
petikan, mengapakah ibu berasa malu? [2 markah]
(ii)
Ibu bapa
bertanggungjawab menjaga kebajikan anak-anak yang menanggung kesakitan.
Sekiranya
anda ialah ibu bapa Azmir, apakah cara yang dapat dilakukan untuk membantu Azmir? [3 markah]
(iii)
Huraikan satu
persoalan yang terdapat dalam petikan dan satu persoalan lain daripada
keseluruhan drama yang tidak terdapat dalam petikan. [4 markah]
i) Ibu berasa malu kerana __________________________________. Selain itu, Azmir juga ______________________________. Ibu juga malu kerana orang mengatakan Azmir _________.
ii) Sebagai ibu bapa, cara yang dapat dilakukan untuk membantu Azmir ialah ______________
__________________________________________________________________________.
iii) Satu persoalan yang terdapat dalam petikan ialah ____________________________. Contohnya, ___________________________________________. Manakala satu persoalan lain daripada keseluruhan drama yang tidak terdapat dalam petikan ialah ______________________.
Contohnya _____________________________________________________.
No comments:
Post a Comment