Monday, April 6, 2020

Rumusan 1

Jom kita  buat latihan rumusan.. harap tak lupa teknik jawab ye..

Soalan 1 : Rumusan
[30 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian tulis satu rumusan tentang peranan ibu bapa menggalakkan anak-anak bersenam dan kebaikannya kepada kesihatan diri. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

     Tabiat bersenam merupakan satu tabiat yang diakui mempunyai pelbagai manfaat bagi kesihatan diri yang menyeluruh. Namun, untuk menjadikannya sebagai amalan harian bukan satu perkara yang mudah. Sikap ibu bapa yang memandang tinggi kepentingan aktiviti sukan dan senaman harus dipuji. Ibu bapa mempunyai pengaruh yang sangat kuat dalam memupuk tabiat suka akan senaman dalam diri anak-anak mereka. Oleh itu, ibu bapa disarankan untuk menghantar anak-anak ke kelas senaman sama ada yang dianjurkan oleh pihak sekolah atau pihak swasta.Hal ini dikatakan demikian kerana sokongan untuk anak-anak melakukan aktiviti tersebut turut mempengaruhi pembentukan tabiat ini.

        Segelintir ibu bapa mempunyai persepsi yang negatif terhadap tabiat ini kerana tidak melihat aktiviti
senaman sebagai satu aktiviti yang penting berbanding dengan akademik. Bagi menggalakkan anak-anak bersenam, ibu bapa perlu mempunyai persepsi positif terhadap aktiviti senaman supaya anak-anak cenderung untuk terlibat dalam aktiviti ini. Mereka yang mempunyai persepsi yang negatif akan bertindak sebaliknya. Anak-anak yang rajin bersenam sebaik-baiknya diberikan motivasi dan peneguhan yang berterusan seperti pujian dan hadiah untuk menggalakkan mereka menjadikan senaman sebagai budaya. Selain galakan dan motivasi, tabiat senaman juga dapat dipupuk melalui sokongan membelikan peralatan untuk bersenam bagi kegunaan anak- anak.

       Walaupun begitu, segelintir ibu bapa menghadapi masalah kekurangan kemudahan dan sumber untuk
melibatkan diri dalam aktiviti senaman. Banyak kajian saintifik yang menunjukkan bahawa kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa yang aktif bersenam mendorong mereka untuk mengikut perlakuan ibu bapa. Oleh itu, ibu bapa sendiri haruslah melibatkan diri dalam aktiviti senaman dan fizikal. Satu pendekatan yang boleh dilakukan oleh ibu bapa adalah dengan melakukan aktiviti senaman dan sukan bersama-sama. Bagi kebanyakan ibu bapa, mencari masa untuk bersama-sama melakukan aktiviti senaman ialah cabaran. Pada masa lapang dan hujung minggu, bawalah anak-anak ke tempat rekreasi bagi bersenam. Walaupun masa tidak boleh dicipta, ibu bapa boleh mengurus masa untuk  memberi ruangkepada aktiviti fizikal dan senaman bersama-sama.

     Di samping itu, ibu bapa patut menemani anak-anak bersenam kerana terdapat segelintir anak- anak yang mahu bersenam bersama-sama orang yang rapat. Jika anak-anak masih berkeras, ibu bapa seharusnya  menasihati anak-anak tentang akibat kemalasan bersenam. Tindakan ini barangkali boleh menyedarkan anak- anak. Penglibatan anak-anak dalam senaman bukanlah untuk bersaing tetapi harus bermatlamatkan kesihatan. Sesungguhnya, untuk menggalakkan penglibatan anak- anak dalam aktiviti senaman dan sukan, sokongan yang berterusan akan membantu pembentukan sikap dan tabiat ini dalam diri anak.

Dipetik dan diubah suai daripada 'Sokongan Sosial Memupuk Tabiat Bersenam',
oleh Prof. Madya Dr. Hairul Anuar Hashim,
Utusan Malaysia, 24 April 2016


Soalan Pemahaman

i. Berikan maksud  rangkai kata memberi ruang.     [2 markah]

ii. .     Penulis ada menyatakan beberapa halangan daripada ibu bapa hingga menyebabkan amalan
                   senaman sukar dilaksanakan dalam kalangan anak-anak mereka.
                   Nyatakan tiga halangan tersebut.    
                                                                                                                                    [3 markah].  
P        iii.     kerajaan turut mempunyai peranan dalam melahirkan masyarakat yang sihat dengan
                   menggalakkan amalan senaman. Pada pendapat anda, apakah peranan pihak kerajaan dalam
                   menggalakkan amalan senaman dalam kalangan masyarakat?                              [4 markah]

No comments:

Post a Comment